More news on Nita....

Ubah selera
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
Di petik dari Berita Harian

Gadis rock beralih angin ke imej seksi, feminin tetapi agresif



HATINYA agak risau tatkala menghasilkan album sulung. Dia bimbang sekiranya dia tidak mampu menunaikan tanggungjawab yang diberikan. Bukan memperkecilkan keupayaan diri, tetapi konsep pop yang disarankan agak ‘bertentangan’ dengan kecenderungannya sebelum ini.

“Saya dulu pernah menjadi seorang gadis rock. Jadi, pada peringkat awal rakaman, terdetik juga di hati, bolehkah saya melakukannya? Album ini pula adalah berkonsepkan pop. Namun, apabila hasilnya sudah dapat dilihat, barulah saya berasa lega. Saya sebenarnya cukup berpuas hati dengan album ini,” kata Nita.

Artis tinggi lampai yang juga naib juara Malaysian Idol musim kedua ini ditemui pada majlis pradengar albumnya yang diadakan di Redbox Ria, Kompleks Sogo, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Album yang berjudul Nita itu sudah berada di pasaran pada 29 Januari lalu.

Album sulung itu memuatkan 10 lagu yang dianggap sesuai oleh pihak syarikat rakamannya, SRC, dengan imej penyanyi itu ketika ini iaitu seksi, feminin dan agresif.

“Saya memang seorang yang agresif, sejak dulu lagi. Maklumlah, saya pernah bergiat cergas dalam aktiviti sukan. Begitupun, itu semua bukan bermakna saya tidak boleh menjadi seorang yang feminin. Saya tidak bolehlah agresif sangat, tetapi harus bersifat lebih kewanitaan,” katanya disulam ketawa m anja.

Atau apakah Nita ingin menjadi lebih feminin kerana jodohnya sudah semakin hampir?

“Saya baru saja mendapat ‘baby’. Maksud saya, album saya baru saja dilahirkan. Jadi, biarlah saya menumpukan perhatian kepada album ini serta urusan promosinya dulu. Karier muzik saya baru saja hendak bermula. Lalu, biarlah saya mengukuhkan dulu kedudukan dalam industri seni ini, sebelum memikirkan untuk berkahwin,” katanya.

Menurut Nita atau nama sebenarnya Norhanita Hamzah, usianya juga baru 26 tahun. Masih banyak lagi waktu untuk dia memikirkan soal rumah tangga. Apa yang penting kini, Nita ingin membina nama sebagai penyanyi yang berjaya.

Berbalik kepada penghasilan album pertama, Nita berasakan, dia cukup bertuah apabila berpeluang bekerjasama dengan ramai komposer terkemuka seperti Adnan Abu Hassan, Cat Farish, Sharon Paul, Helen Yap dan Pot Amir. Di samping itu dia juga merakamkan lagu ciptaan A Farrugia, Aiman, Alfa Booty Kesuma dan komposer Indonesia, Dewiq, yang pernah menghasilkan irama indah Bukan Cinta Biasa.

Untuk albumnya kali ini, pencipta dari seberang itu memberikannya sebuah lagu berjudul Aku yang berentak perlahan.

“Lagu itu paling akhir dirakamkan. Saya terpaksa merakamkannya sebanyak dua kali kerana hasil pertama dikatakan kekurangan ‘feel’. Kali kedua saya merakamkan lagu ini, saya akui, saya menangis. Namun, air mata yang gugur itu bukan kerana liriknya ada kena mengena dengan diri saya. Sebaliknya saya cukup menghayati lagu itu dan meletakkan diri saya di dalamnya,” kata wanita ini.

Aku turut menjadi lagu kesukaannya dalam album berkenaan.

“Ketika saya mula-mula mendengar iramanya pada 20 atau 30 saat pertama, saya sudah tahu saya amat menyukainya,” dedah Nita mengenai lagu ciptaan sepenuhnya oleh Dewiq itu.

Pengurus Besar SRC, Edwin Tan pula memberitahu, sekiranya Nita mendapat kejayaan memberangsangkan di negara sendiri, peluang untuknya menyeberangi sempadan, ke Indonesia, adalah lebih besar. Kerana itu juga, lagu ciptaan negara itu turut dimasukkan ke dalam penghasilan sulung berkenaan.

Album Nita, secara umumnya, sebuah produk yang mampu menghiburkan peminatnya dengan pengisian empat lagu perlahan dan enam lagu berentak rancak. Kualiti bunyi dan muziknya agak membanggakan, manakala Nita sendiri tidak mengecewakan dari segi penyampaian serta vokalnya. Penantian Nita sejak sekian lama berbaloi dengan kelahiran album ini.

Kulit album yang memaparkan dirinya bergaya dalam gaun merah jenama antarabangsa juga cukup menarik. Begitu juga gambar yang dipaparkan di dalamnya, semuanya cantik. Ada ketika, Nita kelihatan seperti Krisdayanti. Paling tidak, pihak SRC masih sedar, betapa kulit album juga cukup penting dalam menarik perhatian pembeli.

0 comments: