Di Petik Dari
Utusan Malaysia
Baru hendak bertatih sudah pelbagai cerita kurang enak mengenai gadis ini diperkatakan. Nita Hamzah atau Nita, Malaysian Idol 2 (MI2) sendiri sebenarnya tidak mengerti mengapa perkara itu terjadi kepadanya.
Dia bukan saja dilabelkan sebagai artis yang sering datang lambat tetapi juga sebagai artis baru bermasalah.
Menjawab segala kata nista yang dilemparkan kepadanya, kata Nita, “Saya bukan artis bermasalah. Dan saya tak suka di labelkan begitu. Bagi saya orang yang melabelkan saya bermasalah sebenarnya dah tak ada kerja nak buat.
“Lagi pun perkara ini telah berlalu dan saya harap tak ada lagi gosip atau cerita-cerita macam ini timbul. Ini boleh menjejaskan imej saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pra dengar album terbarunya berjudul Nita, di Redbox Sogo, baru-baru ini.
Sekali gus bagaikan mengumumkan bahawa penantiannya berakhir apabila albumnya itu bakal berada di pasaran pada 29 Januari ini.
Begitu teruja agar khalayak sama-sama menyokongnya dari belakang, Nita berharap kehadiran album itu membawa kejayaan kepadanya.
Mengandungi 10 buah lagu, album Nita menampilkan beberapa komposer terkenal antaranya Adnan Abu Hasan, Sharon Paul, Azmeer, Helen Yap dan Pot Amir.
Lagu Kusut dan Aku, dipertaruhkan sebagai single
pertama dan keduanya.
Bercerita tentang pengalamannya sewaktu merakamkan album tersebut sambil tersenyum Nita berkata, “Saya tak mungkin melupakan saat saya merakamkan lagu Aku. Saya menangis kala merakamkan lagu itu. Saya buat rakaman sebanyak dua kali untuk mendapatkan hasil yang terbaik. Sebenarnya lagu itu tak ada kena mengena dengan diri saya tapi lagu itu cukup menyentuh hati saya.
Saya sendiri tak sedar saya boleh menangis sebab saya rasa saya terperangkap dalam feel saya sendiri.”
Malah buat pengetahuan semua, lagu Aku itu merupakan lagu ciptaan pencipta seberang, Dewiq yang juga mencipta lagu Bukan Cinta Biasa nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.
Mungkin ramai tidak mengetahui sebenarnya Nita pernah menghasilkan album berkonsepkan alternative sekitar tahun 90-an di bawah label Positive Tone.
Malangnya album tersebut tidak berjaya mengangkat namanya dalam bidang seni tempatan.
Belajar dari kesilapan lalu, album terbitan SRC Records kali ini ditukar konsep daripada alternative kepada pop. Mungkin itu resipi terbaik untuk Nita bertakhta di hati peminat seni tanah air.